AWAN MERAH JAMBU by Kak Ain


Assalamualaikum...

Hatiku hangat. Berasa panas. Sungguh. Baranya makin hidup. Berasap-asap. Tanpa api sebenarnya. Namun, awan merah jambu semakin kelabu.


Aduh. Cukuplah. Cukuplah. Dan cukuplah.


Ya, kau benar. Aku tidak seharusnya mengambil tahu. Aku hanya orang luar. Aku pihak ketiga. Aku seharusnya membiarkan sahaja. Segalanya-galanya. Segala-gala hal yang berlaku. Aku sudah punya cinta. Biarkan sahaja. Semua itu perkara remeh, mengapa mesti memandang dengan mata yang berat? Semua itu perkara biasa, mengapa padaku ia adalah luar biasa? Semuanya bukan soal cinta, tapi kerana sayang. Mengapa aku berasa semua sikap keprihatinan itu adalah salah?


Sebab...


Awan merah jambu semakin terluka.


Sifatnya lembut. Comel. Manis dari jauh. Sangat mudah disentuh. Terlalu mudah. Apatah lagi, dirinya selalu menjadi rebutan. Cuma, mungkin kau tidak pernah tahu. Dia cuba untuk bertahan.


"Jangan jadikan aku tawanan. Aku awan merah jambu yang kuat".


Tapi hanyalah sekadar kata-kata, sekadar luahan. Tanpa sedar, awan merah jambu sudah pun ditawan dan tertawan. Hatinya berteka-teki tentang soal pilihan. Awan merah jambu, sungguh-sungguh terluka. Silap. Benar-benar silap. Aku sudah acap kali berpesan, supaya tingkatkan sabar, tapi sia-sia.


Dan akhirnya...


Awan merah jambu, sendirian terluka.


Betul. Kita masing-masing mahu menjaga hati. Sehinggakan bakul cinta, sayang dan suka itu sukar untuk dibeza-bezakan di manakah letaknya. Hati sangat lembut, sama sifatnya seperti awan merah jambu. Aura itu, hanya kamu yang ada. Seperti aku, aura cinta itu hanya wujud tatkala hadirnya si dia yang aku puja. Datanglah seribu lelaki pun, pendirian awan merah jambu cuma satu. Itu yang aku tahu. Biarpun betapa baiknya 'penjaga' awan merah jambu ketika ini, dia masih tidak punya aura sepertimu. Percayalah.


Kita sudah tetapkan hati untuk setia. Jadi, cubalah untuk setia. Jangan lukakan siapa-siapa. Tetap dengan hati, andai sudah mendapat petunjuk daripada Ilahi. Walaupun hanya dengan sedikit perhatian, seluruh hati akan menjadi cair. Lantas, hujan dari awan merah jambu turun dengan lebat. Perhatian itu sangat-sangat melukakan. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk mencipta ruang. Bukan mahu menjarakkan perhubungan, sekadar mahu menjaga perasaan. Lama-lama akan menjadi kebiasaan. Perhatian itu, hanya akan menyebabkan kepahitan. Buanglah kepahitaan demi kemanisan perhubungan yang berpanjangan.


Carilah masa untuk mengintai diri. Pasti terserlah tempat lompongnya hati. Aku sedari tahu, tindakan ini salah. Jadi, aku pohon berbanyak-banyak maaf. Pimpinlah tangan seorang wanita pilihan, biarkan awan merah jambu kesepian melayan perasaan. Itu lebih baik. Sungguh. Itu lebih baik.


Walaupun hanya sekali bertemu, seluruh rahsia tentang jiwa awan merah jambu ada di tanganku. Matanya tidak dapat menipu mataku. Senyumnya menzahirkan betapa indahnya kebahagiaan. Rentak tepukan sebelah tangan begitu mengasyikkan.


Maaf, untuk kata-kata yang menyakitkan. Sekadar ingatan, sebagai tanda sayang.


original entry : sini
penulis : Puan Nurul Ain bt Mat Rahim.
penuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin ( tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Syariah ), seorang pendebat dan penulis yang baik. penulisan yang wajar dicontohi, kata-kata yang akhirnya membawa kepada keyakinan dan keazaman. percayalah, do read her blog nicely. :) 
--> ihaveideas-onlife.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog

MASA, JANGAN TERLALU CEPAT!

TEMAN HIDUP

UJIAN HIDUP